Home » » Laporan Penuh Kemeriahan Program Amal #KonsertDestini YDAB

Laporan Penuh Kemeriahan Program Amal #KonsertDestini YDAB

Written By Destini Anak Bangsa on Monday 23 December 2013 | 07:51



Konsert Destini anjuran Yayasan Tabung Destini Anak Bangsa (YDAB) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bertujuan mengumpul dana untuk membantu pelajar kurang berkemampuan berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM2 juta.

Berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di UiTM Shah Alam pada malam Jumaat dan Sabtu lalu, konsert itu berjaya menggegarkan pentas dengan persembahan mantap daripada barisan artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Awie, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Hafiz AF dan Adira termasuk artis terkenal Indonesia, ­DatukRossa, Pasha Ungu dan Cakra Khan.

Kemeriahan konsert berlangsung selama dua jam itu diserikan dengan kehadiran pelakon Neelofa dan AG Hot FM sebagai pengacara. Konsert malam pertama membuka tirai dengan persembahan unik pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM yang menggunakan lampu picit LED dalam tarian mereka.

Acara bermula dengan persembahan Dayang Nurfaizah dengan lagu berjudul Sayang Sayang Kamu diikuti dengan Seandainya Masih Ada Cinta. Konsert diteruskan dengan Adira menerusi lagu berjudul Ilusi seterusnya berduet bersama Hafiz menyanyikan lagu Ombak Rindu dan diteruskan dengan persembahan Jaclyn Victor.

Kemuncak konsert bermula dengan kemunculan penyanyi otai Amy Search dan Awie yang paling dinanti-nantikan ribuan penonton yang kebanyakannya pelajar UiTM dan golongan belia.

Awie mempersembahkan dua lagu berjudul Sejati dan Terima Kasih, manakala Amy menyanyikan lagu Pawana, Saat Ku Idamkan, Rozana sebelum mengakhiri konsert dengan lagu popularnya, Isabella.

Selain itu, persembahan daripada Rossa turut menggamatkan suasana dewan menerusi lapan lagu antaranya Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies. Penyanyi jelita itu turut berganding bersama Cakra Khan menyanyikan lagu Terlanjur Cinta.

Pemilik suara emas yang ditunggu-tunggu penonton iaitu Datuk Siti Nurhaliza muncul diiringi 20 penari berpakaian tradisional berwarna-warni memeriahkan lagi suasana konsert. Beliau mempersembahkan tiga lagu berjudul Destinasi Cinta, Lebih Indah dan Cindai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YDAB, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali berkata, jualan tiket untuk konsert dua hari habis dan matlamat yayasan mengumpul dana sebanyak RM2 juta untuk Tabung Pendidikan Anak Bangsa tercapai.

“Kejayaan malam ini juga hasil kerjasama artis yang terbabit untuk membantu pelajar miskin. Selain itu, kami turut membawa seramai 2,000 anak yatim dari seluruh negara untuk menyaksikan konsert selama dua hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berdepan cabaran menganjurkan konsert berkenaan kerana membabitkan artis daripada pelbagai genre muzik.

“Kami mahu penonton hibur dan berpeluang merasai pelbagai jenis muzik dan membelanjakan sebanyak RM700,000 untuk menjayakan konsert berkenaan,” katanya.

Mohd Aizuddin berkata, konsert itu boleh dijadikan sebagai acara tahunan kerana mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

“Dana tabung ini akan digunakan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di kawasan pedalaman untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, pihak yayasan sudah mengenal pasti pelajar yang berkelayakan menerima bantuan berkenaan dan kini di peringkat penilaian.

Sementara itu, penyanyi Indonesia Cakra Khan berkata, konsert itu adalah persembahan pertamanya di Malaysia dan gembira berpeluang terbabit membantu mengumpul dana.

“Konsert amal ini bagus kerana bertujuan membantu pelajar miskin yang cemerlang mencapai impian mereka untuk melanjutkan pelajaran. Memandangkan ini juga kali pertama membuat persembahan di Malaysia, saya berusaha memberi yang terbaik kepada penonton dan peminat,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 21 tahun itu, dia dimaklumkan mengenai Konsert Destini seminggu sebelum acara itu berlangsung sebelum berbincang dengan Rossa mengenai lagu duet bersama.

Turut hadir di Konsert Destini adalah Naib Canselor UiTM Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

SUMBER: My Metro


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

ALAMAT PEJABAT YDAB:

YAYASAN DESTINI ANAK BANGSA

7-3, Setia Avenue, Jalan Setia Prima (S)
U13/S, Seksyen U13,Setia Alam
40170 Shah Alam, Selangor.
TEL : +603-3343 5080
FAKS : +603-3342 6080
 
Support : Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. YAYASAN DESTINI ANAK BANGSA (YDAB) - All Rights Reserved