Home » » UiTM pelopor ubah destini Orang Asli

UiTM pelopor ubah destini Orang Asli

Written By Destini Anak Bangsa on Friday, 15 February 2013 | 23:00


SERI ISKANDAR - Prinsip pendemokrasian pendidikan diamalkan kerajaan telah membuka ruang dan peluang luas kepada rakyat termasuk golongan minoriti Orang Asli mendapat akses pendidikan berkualiti, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, prinsip yang berada dekat di hatinya itu tidak bersifat elitis atau terbuka kepada golongan yang berkedudukan tetapi setiap orang di negara ini mesti mendapat peluang berkenaan dan sama rata.

Beliau berkata, pendidikan merupakan alat paling berkesan untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi sesuatu bangsa, kumpulan atau komuniti. 



"Mungkin kita (kerajaan) boleh membina jalan, membina jambatan atau sediakan rumah sekalipun. Tetapi tidak ada alat wahana yang lebih berkesan berbanding sekiranya seseorang itu mendapat akses pendidikan berkualiti dan melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi dan selanjutnya," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama YAB Perdana Menteri serta pelancaran program Mengubah Destini Orang Asli di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada bumbung yang dapat mengehadkan pencapaian seseorang itu selain keinginan dan kesungguhan untuk berjaya melalui pemupukan semangat serta mengubah sikap, menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan dalam sistem pendidikan oleh kerajaan.

"16,000 anak miskin berada dalam sistem pendidikan UiTM, tidak mungkin mereka dapat menjejak kaki ke insitusi pengajian tinggi jika tidak ada program seperti ini. 

"Begitu juga peluang untuk Orang Asli...(menerusi) program ini, sukarelawan perlu turun padang pergi ke kampung Orang Asli, cari anak-anak Orang Asli yang berkebolehan, berpotensi walaupun kelulusan paling minimum, ambillah mereka," katanya.

Najib berkata, apa juga kekurangan pada masyarakat Orang Asli perlu dibetulkan dengan usaha yang lebih kerana jika ada tumpuan, ramai anak Orang Asli akan maju dalam pendidikan.



Sebelum itu, dalam ucapan Naib Canselor UiTM, Dato' Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Abu Bakar berkata, sejak UiTM memulakan Projek Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) pada 2010, seramai 15,000 pelajar dari kalangan anak yatim dan keluarga miskin mengikuti pengajian di peringkat pra-diploma di semua kampus cawangan UiTM.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 12,000 pelajar telah berjaya melayakkan diri menyambung pelajaran di peringkat Diploma. Alhamdulillah, dan Insyaallah, kumpulan pertama kohort tersebut, akan bergelar graduan pada majlis konvokesyen tahun ini.

"UiTM akan meneruskan usaha untuk mengubah destini anak bangsa, dengan memberi lebih tumpuan kepada masyarakat Orang Asli, agar mereka juga dapat sama-sama mengecap nikmat berilmu, demi kelangsungan bangsa pribumi ini,"katanya.


sars
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

ALAMAT PEJABAT YDAB:

YAYASAN DESTINI ANAK BANGSA

7-3, Setia Avenue, Jalan Setia Prima (S)
U13/S, Seksyen U13,Setia Alam
40170 Shah Alam, Selangor.
TEL : +603-3343 5080
FAKS : +603-3342 6080
 
Support : Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. YAYASAN DESTINI ANAK BANGSA (YDAB) - All Rights Reserved